04 November 2011

Sukaneka Tahun 3


Semangat kesukanan dan kerjasama dalam pasukan antara murid dan guru telah menjayakan temasya sukan SKTB 2011 walaupun berhadapan dengan cuaca hujan. Tahniah warga SKTB.

02 November 2011

Sukan SKTB 2011

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Alhamdulillah, syukur ke hadratNya dengan limpah kurniaNya, Warga SKTB telah menjayakan Sukan Tahunan 2011 pada 2 November 2011 ( Rabu ). Sukan Tahunan pada kali ini benar-benar mencabar kerana Warga SKTB menjayakan temasya sukan dalam keadaan hujan. Sekalung tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Sukan Tahunan SKTB. Kerjasama dari anda amat dihargai. Terima kasih juga diucapkan kepada YB Datuk Latipah bt Omar,YDP PIBG yang telah merasmikan temasya sukan pada kali ini.

01 August 2011

Selamat Berpuasa Warga SKTB

Semoga kedatangan Ramadhan dapat membentuk peribadi kita menjadi muslim sejati. Insya Allah.

22 July 2011

Sumbangan buku daripada YB

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Pada hari ini, YDP PIBG sekolah iaitu YB Datuk Latipah Omar telah mengadakan lawatan ke sekolah dan telah menyampaikan sumbangan beliau iaitu buku-buku rujukan untuk murid-murid Tahun 6 sekolah kami. Pihak sekolah amat berbesar hati dan berterima kasih di atas sumbangan beliau tersebut. Semoga dengan sumbangan buku tersebut, semua murid SK Tanjong Bidara dapat meningkatkan lagi prestasi sekaligus mengharumkan nama sekolah. Insya Allah.  
YB Datuk Latipah Omar semasa menyerahkan sumbangan buku kepada Guru Besar SKTB, Encik Mustafa Kamal bin Mohd Nor.

YB Datuk Latipah Omar, YDP PIBG sekolah bersama Guru Besar SK Tanjong Bidara, Encik Mustafa Kamal bin Mohd Nor. Terima kasih YB di atas sumbangan buku.

20 July 2011

Bengkel Adobe Photoshop & Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah- Kumpulan 3

Gambar peserta bengkel bagi Kumpulan 3- Rabu, 20 Julai 2011 iaitu seramai 13 orang guru.

19 July 2011

Bengkel Adobe Photoshop & Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah- Kumpulan 2

Gambar peserta bengkel bagi Kumpulan 2- Selasa, 19 Julai 2011 iaitu seramai 13 orang guru.

Bengkel Adobe Photoshop & Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah- Kumpulan 1


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Bermula pada 18 Julai 2011 ( Isnin), 2 buah bengkel telah diadakan di Bilik Komputer SKTB. Bengkel tersebut adalah Bengkel Photoshop dan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). Bengkel ini melibatkan semua guru SKTB dan berlangsung selama 3 hari secara berperingkat. Pada hari pertama seramai 13 orang guru yang terlibat. Bengkel yang melibatkan 2 sesi ini bermula pada pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang untuk Bengkel Photoshop. Kemudian, pada pukul 1.30 hingga 2.30 petang Bengkel SAPS pula disambung. Diharapkan dengan pendedahan ini, semua guru SKTB dapat menambah pengetahuan tentang ICT. Semoga berjaya :)

15 July 2011

Bengkel Adobe Photoshop CS4

Bengkel Adobe Photoshop CS4 akan diadakan pada ketetapan berikut untuk Guru-Guru SK Tanjong Bidara dimana Fasilitator adalah Cik Samsinar Othman  dibantu oleh Pn. Fadillah Husin dan Pn. Noraishah Abd. Wahid  :

           Tarikh      :   18 - 20 Julai 2011
           Masa         :   12.30 Thg - 2.30 Ptg
           Tempat    :   Bilik Komputer SK Tanjong Bidara

Semoga dengan Bengkel ini akan lebih memantapkan lagi pengetahuan Guru - Guru SK Tanjong Bidara.

14 July 2011

Aktiviti Sempena Bulan Membaca

Salam 1 Malaysia. Pada bulan Julai ini merupakan Bulan Membaca. Pusat Sumber Sekolah telah menyediakan aktiviti-aktiviti yang menarik sepanjang bulan Julai ini. Pada setiap pagi, murid-murid sekolah ini akan berkumpul di dataran perhimpunan untuk mengadakan Program Nilam. Semua murid dikehendaki membawa sebuah buku cerita bersama Buku Nilam untuk dicatatkan ke dalam buku tersebut. Program ini berjaya memberi kesedaran kepada semua murid betapa pentingnya membaca. Tahniah PSS SK Tanjong Bidara dan semua guru yang telah terlibat.

Larian 1M-1S

Salam 1 Malaysia. Larian 1 Murid, 1 Sukan, 1 Malaysia telah diadakan pada 2 Julai 2011 bersamaan hari Sabtu. Larian yang melibatkan semua warga SKTB ini telah dimulakan seawal 7.00 pagi dengan pendaftaran semua murid. Larian ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran YDP PIBG, YB Datuk Latipah Omar yang telah memberikan ucapan perasmian majlis. Guru Besar, Encik Mustafa Kamal Mohd Nor telah melepaskan peserta larian ini. Majlis larian ini selesai pada pukul 9.00 pagi.   

Sekitar Kursus LDAP 3 SK Tanjong Bidara

Pada 25 Jun 2011 bersamaan hari Sabtu, satu kursus LDAP tentang pengajaran dan pembelajaran berkesan telah diadakan. Kursus ini telah bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 1.30 petang bertempat di Bilik Mesyuarat, SK Tanjong Bidara. Penceramah jemputan untuk kursus kali ini adalah Encik Mohamad Isa Bin Jolan, Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pelajaran Melaka. Banyak input terkini yang telah disampaikan dan diharapkan agar semua maklumat tersebut dapat diaplikasikan agar dapat melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek serta menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Insya Allah.

Sekitar Majlis Sambutan Israq dan Mikraj

Pada 1 Jun 2011 bersamaan hari Jumaat, sekolah kami telah mengadakan sambutan Majlis Israq dan Mikraj. Majlis dimulakan selepas bacaan Yassin. Penceramah jemputan pada majlis ini adalah Ustaz Wan Mohd Shukri bin Wan Abdullah dari SK Kem Terendak 2. Banyak input yang diberikan semasa majlis ini dan diharapkan agar peristiwa Israq dan Mikraj ini dapat memberi pengajaran dan menjadikan semua warga SKTB muslim serta muslimah yang sejati. Insya Allah. 

17 May 2011

SAMBUTAN HARI GURU 2011

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Alhamdulillah, majlis sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah diadakan pada 16 Mei 2011. Tema sambutan pada kali ini adalah ' Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara'. Majlis sambutan dimulakan dengan perhimpunan rasmi seterusnya guru-guru  menyanyikan lagu tema hari guru dan nyanyian 'Kami guru Malaysia'. Ucapan daripada guru besar dan seterusnya merasmikan sambutan hari guru peringkat sekolah. Ucapan daripada Puan Noraini, GPK HEM yang membacakan teks ucapan Menteri Pelajaran Malaysia menyusul kemudian dan disambung oleh Encik Ibrahim, GPK KO-KU yang membacakan teks ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Acara sukaneka antara guru dan murid menyerikan suasana dan persembahan daripada murid dan guru menggamatkan keadaan dewan. Pada sebelah petang pula, jamuan guru antara PIBG sekolah diadakan di dewan sekolah. Acara tukar hadiah dan sumbangan hadiah daripada PIBG mengiringi jamuan tersebut. Semoga sambutan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara guru dan sebagai agen transformasi negara, kita guru Malaysia dapat menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas dan amanah dalam menggalas cita-cita negara. Insya Allah.  

12 May 2011

PENYAMPAIAN HADIAH

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Tahniah kepada pasukan Bola Tampar SK Tanjung Bidara kerana telah menjadi juara. Kekalkan prestasi kecemerlangan pasukan sekolah dan terima kasih kerana telah mengharumkan nama sekolah. 

MESYUARAT PIBG 2011

MINUM MILO JADI SIHAT DAN KUAT

11 May 2011

MOTIVASI MUHASABAH DIRI UPSR

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Program motivasi untuk Tahun 4,5, dan 6 telah diadakan pada 9 Mei 2011 ( Isnin) di Dewan SKTB. Penceramah jemputan untuk program ini adalah Ustazah Rozita binti Abdul Hamid dari SMK Sri Pengkalan. Program ini amat perlu dilaksanakan memandangkan murid-murid belum menunjukkan perubahan sikap yang ketara dan sewajarnya terutamanya bagi murid-murid tahun 6 untuk menjamin semua calon UPSR tahun ini dan tahun-tahun seterusnya berada di barisan hadapan atau sekurang-kurangnya setara dengan sekolah-sekolah lain yang menempah kejayaan cemerlang. Murid-murid ini sangat memerlukan bimbingan serta motivasi berterusan bagi membantu meningkatkan perubahan sikap yang lebih positif serta keyakinan diri dalam menggapai kejayaan dalam akademik. Matlamat program ini adalah untuk melahirkan generasi murid yang insaf, sedar, dan yakin dengan rasa penuh tanggungjawab bagi meningkatkan pengurusan diri dan pencapaian dalam akademik. Pada akhir program ini, diharap murid-murid akan mendapat pengetahauan tentang langkah awal dan persediaan bagi menghadapi pepriksaan dan cara mengurus diri dengan berkesan. Di samping itu juga, murid juga diharap dapat menunjukkan perubahan sikap dan kesedaran diri untuk menjadi murid yang berusaha dengan penuh tekad dan berterusan ke arah kejayaan dalam peperiksaan.

10 May 2011

PERSEMBAHAN PRASEKOLAH

Assalamualaikum. Setelah sekian lama tidak mengemaskini laman blog ini, baru hari ini diberi kesempatan. Pada majlis perhimpunan rasmi minggu ini, warga sekolah dihidangkan dengan persembahan si cilik dari prasekolah SK Tanjong Bidara. Lincah dan bertenaga persembahan mereka. Tugas melatih mereka bukanlah sesuatu yang mudah. Keberanian si cilik ini mempersembahan tarian dihadapan semua murid SK Tanjong Bidara telah membuktikan bahawa mereka adalah golongan murid yang bakal menyinar satu hari nanti. Insya Allah. Sekalung tahniah buat guru prasekolah kerana telah mengasah bakat dan mendidik mereka. Tahniah! 

10 March 2011

PERTANDINGAN AZAN

Salam 1 Malaysia. Hari ini sekolah kami mengadakan pertandingan azan untuk Tahap 1 dan 2 sempena Sambutan Maulidur Rasul. Pertandingan ini mendapat sambutan ramai daripada murid-murid. Murid-murid yang menyertai pertandingan ini mengalunkan azan dengan penuh perasaan. Semoga pertandingan sebegini dapat mengilap bakat terpendam murid agar dapat menjadi pelapis untuk agama, masyarakat dan negara.




Peserta pertandingan menunggu giliran sebelum mengalunkan azan.










Semua murid mendengar alunan azan daripada peserta pertandingan  dengan khusyuk.










Antara peserta pertandingan yang mempunyai alunan suara yang mendayu-dayu dan menusuk kalbu. Bakat terpendam yang perlu digilap agar terus bersinar.   

04 March 2011

TAZKIRAH HARI INI

JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barang siapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa: "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya:

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmun membencinya.

4. Orang lelaki yang melarikan diri.

5. Orang lelaki yang minum arak tanpa meninggalkannya ( Taubat).

6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menaniaya.

9. Orang-orang yang suka makan riba'.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: " Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."

Hassan r.a berkata: "Kalau soalt kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu hanya dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.

03 March 2011

PERTANDINGAN BOLA SEPAK MSSNM

Salam 1 Malaysia. Pada 28 Februari ( Isnin), bertempat di Padang SK Pengkalan Balak, telah berlangsung Pertandingan Bola Sepak 12 Tahun MSSNM Kawasan Masjid Tanah. Sekolah kami telah diamanahkan  sebagai  pengelola pertandingan pada kali ini. Antara tetamu yang hadir ialah Datuk Penghulu Tg Bidara, Encik Sabri bin Husin dan Penyelia Kanan Sukan, Encik Jonit bin Marsin. Pertandingan dimulakan dengan perlawanan pasukan SK Sri Laksamana dan SK Kem Terendak 2 bagi menentukan tempat ke 3 dan ke 4. Pasukan SK Sri Laksamana telah menewaskan pasukan lawannya dengan jaringan gol 1-0. Pertandingan diteruskan lagi untuk menentukan tempat pertama dan kedua antara pasukan SK Othman Shawal dengan pasukan SK Pengkalan Balak. Pasukan SK Pengkalan Balak telah menundukkan pasukan lawannya dengan jaringan gol 2-1. Tahniah kepada para pemenang.  

02 March 2011

KURSUS KEWIBAWAAN PEMIMPIN MUDA


Salam 1 Malaysia. Pada 27 Februari 2011 ( Ahad), sekolah kami telah mengadakan Kursus Kewibawaan untuk Pemimpin Muda. Pemimpin muda yang menghadiri kursus ini terdiri daripada pemimpin muda Tahap 2. Trainer yang telah diundang adalah dari Nur Insani Consultancy. Walaupun kursus ini diadakan pada hari Ahad, semangat pemimpin muda ini sangat membanggakan. Kerjasama dalam aktiviti-aktiviti semasa kursus ini dijalankan membuktikan pemimpin muda ini benar-benar pilihan yang tepat dalam membantu guru-guru di sekolah. Alhamdulillah, kursus yang berakhir pada pukul 5 petang ini banyak memberi manfaat kepada pemimpin muda ini. Semoga pemimpin muda SK Tanjong Bidara dapat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan lebih berkesan. Tahniah kepada pemimpin muda dan kepada guru-guru yang telah menjayakan kursus kewibawaan ini.

01 March 2011

LAWATAN PEMERIKSAAN GIGI

Salam 1 Malaysia. Klinik Pergigian Masjid Tanah telah membuat lawatan pemeriksaan gigi di sekolah ini. Rawatan percuma ini telah bermula dari minggu lepas lagi. Ramai murid yang telah mendapat rawatan ini. Pelbagai ragam yang dapat dilihat semasa lawatan pemeriksaan ini terutamanya daripada murid-murid Tahun 1. Terima kasih diucapkan kepada Klinik Pergigian Masjid Tanah yang telah memberikan rawatan ini kepada semua murid SK Tanjong Bidara.

28 February 2011

PERTANDINGAN PENGUCAPAN AWAM

Salam 1 Malaysia. Bagi menghangatkan lagi Minggu Bahasa yang telah dilancarkan, pertandingan pengucapan awam bagi murid-murid tahun 6 telah dijalankan. Peserta pertandingan dipilih secara rawak kemudian pihak penganjur iaitu Panitia Bahasa Melayu memberi tajuk mudah untuk murid yang terpilih membuat pengucapan awam. Antara tajuk yang diberi adalah tentang keluarga, guru kesayangan dan sekolah saya. Melalui pertandingan ini, bakat murid dapat dicungkil dan digilap agar dapat menjadi murid yang serba boleh bukan hanya cemerlang dari segi akademik tetapi mampu berucap di khalayak ramai serta berkomunikasi dengan baik di hadapan penonton. Semoga dengan pertandingan sebegini, sekolah dapat menyediakan bakal-bakal pemimpin yang petah berbicara, yang dapat memberi hujah yang bernas serta dapat menyuarakan pendapat dengan lebih berani dan berkesan. Syabas kepada peserta pertandingan ini kerana telah memulakan langkah awal untuk menjadikan diri mereka lebih berani untuk tampil ke hadapan.

SELAMAT MENGHADAPI UJIAN BULANAN PERTAMA

Salam 1 Malaysia. Bermula 1 Mac sehingga 4 Mac 2011, semua murid akan menghadapi Ujian Bulanan Pertama. Semoga semua murid SK Tanjong Bidara dapat menjawab semua soalan dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang. Doa kepadaNYA,usaha yang berterusan, ikhtiar, dan tawakal kepadaNYA, Insya Allah pasti akan mendatangkan hasil yang terbaik. Selamat menghadapi ujian bulanan kepada semua murid SK Tanjong Bidara.

23 February 2011

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM NILAM BERSAMA KUNTUM


Salam 1 Malaysia. Pada hari ini, sekolah kami telah mengadakan Majlis Perasmian Program Nilam bersama Majalah Kuntum.Program ini dimulakan dengan ucapan daripada Guru Besar SKTB, diikuti ucapan daripada Pegawai PKG Pengkalan Balak, Encik Razak bin Sampul yang seterusnya merasmikan majlis ini. Beberapa persembahan murid telah menyerikan lagi majlis ini. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada wakil Majalah Kuntum iaitu Puan Siti Aisyah.  Soalan kuiz daripada  beliau telah menggamatkan suasana majlis ini. Beberapa orang murid yang terpilih telah berjaya menjawab soalan tersebut dan telah mendapat hadiah saguhati daripada Majalah Kuntum. Suasana semakin meriah apabila maskot majalah ini iaitu Si Comel dibawa ke tapak perhimpunan untuk menyampaikan hadiah kepada murid yang telah berjaya menjawab soalan dengan tepat. Sesi bergambar dengan Si Comel bersama murid-murid yang melanggan majalah ini, murid prasekolah, bersama pengawas perpustakaan, pengawas sekolah, dan bersama semua guru SKTB mengakhiri majlis ini. Semoga majlis sebegini dapat diteruskan lagi untuk tahun yang akan datang. Syabas kepada pihak penganjur dan semua warga SKTB yang telah bekerjasama dalam menjayakan majlis ini.

22 February 2011

PERTANDINGAN BERCERITA TAHUN 3

Salam 1 Malaysia. Sempena menyambut Minggu Bahasa, satu pertandingan bercerita telah diadakan khususnya bagi murid-murid Tahun 3. Tahun 3 Arif diwakili oleh adik Ahmad Shukri dan Nurul Afiqah manakala Tahun 3 Afdal diwakili oleh adik Amri Amsyar dan Noraishah Muid dan Tahun 3 Amanah diwakili adik Mohd Hadif Razak. Melalui pertandingan ini, kita dapat mencungkil bakat terpendam murid-murid dan melihat sejauh mana kemampuan murid-murid ini untuk berhadapan dengan orang ramai. Sekaligus melatih murid-murid ini agar lebih berani pada masa hadapan bak kata pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya'.
Syabas untuk peserta pertandingan bercerita!

21 February 2011

PERASMIAN MINGGU BAHASA

Pada pagi ini, sekolah kami telah mengadakan Majlis Perasmian Minggu Bahasa Anjuran Pusat Sumber SKTB bersama Panitia Bahasa Melayu. Persembahan murid tahap 2 iaitu nyanyian lagu rakyat Suriram dan kuiz bahasa untuk semua tahap telah diadakan bagi menyerikan lagi Pelancaran Minggu Bahasa. Perhimpunan pagi ini telah diserikan lagi dengan penyampaian hadiah untuk murid yang telah mewakili sekolah dalam pertandingan catur dan penyampaian sijil dan trofi kepada sekolah yang telah mendapat naib johan bagi pertandingan lorong dan sudut PPDa peringkat negeri Melaka pada tahun lepas. Tahniah diucapkan. Semoga prestasi cemerlang ini akan berterusan untuk tahun yang mendatang.

16 February 2011

CARA HIDUP SIHAT

Salam 1 Malaysia. Pada hari ini, pihak Omizu Body Health Care telah mengadakan sesi rawatan kesihatan percuma untuk tekanan darah, body fat, VFAT ( visceral Fat), BMI ( Body Mass Index) dan BMR ( Basal Metabolic Rate). Semua guru tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ujian kesihatan percuma ini. Kesihatan diri amatlah penting bagi menjamin segala urusan kita dapat dilaksanakan dengan lebih baik. Marilah kita menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan budaya hidup yang sihat.

14 February 2011

'1 MALAYSIA, 1 UMMAH'

Warga SK Tanjong Bidara mengucapkan Salam Maulidur Rasul 1432H. Hayatilah kisah Maulidur Rasul:

Kelebihan Nabi Muhammad.

Dari Jabir katanya : Berkata Rasulullah yang ertinya :

Aku telah diberikan 5 perkara yang tidak seorang pun daripada para nabi sebelum ku diberikan :
1. Aku ditolong dengan daya menakutkan musuh sejauh perjalanan sebulan.
2. Di untukkan bagiku bumi ini ,dimana-mana sahaja boleh dijadikan tempat bersujud dan keadaannya suci .Maka sebarang umatku yang telah dating kepadanya waktu sembahyang,hendaklan tambpil sembahyang.
3. Dihalalkan harta rampasan perang bagikubdan tidak halal bagi seorang pun sebelum ku.
4. Aku diberi kuasa untuk beri syafaat.
5. Setiap nabi dibangkitkan untuk menyeru kaumnya sahaja,tapi aku dibangkitkan untuk menyeru seluruh manusia.

RASUL-RASUL PENJAGA LANGIT
Lapisan 1 : Nabi Adam
Lapisan 2 : Nabi isa dan Yahya
Lapisan 3 : Nabi Yusuf
Lapisan 4 : Nabi Idris
Lapisan 5 : Nabi Harun
Lapisan 6 : Nabi Musa
Lapisan 7 : Nabi Ibrahim.

WASIAT NABI MUHAMMAD SAW kepada SAYIDINA ALI RA

Wahai Ali, bagi orang MUKMIN ada 3 tanda-tandanya:
>1) Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia.
>2) Tidak terpesona dengan pujuk rayu.
>3) Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia..

Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
>1) Jujur dalam berkata-kata.
>2) Menjauhi segala yg haram.
>3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi 
 AHLI IBADAH itu ada 3 tandanya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN PEMIMPIN MUDA SEKOLAH

Salam 1 Malaysia. Majlis pelantikan watikah pemimpin muda sekolah telah diadakan pada hari Isnin, 14 Februari 2011. Majlis ini telah dirasmikan oleh Cif Inspektor Rosman bin Said , Ketua Balai Polis Masjid Tanah, Melaka. Rasional majlis ini adalah supaya semua murid mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang perlu dididik dan dibimbing agar bakat semulajadi ini tidak dipersiakan. Selaras hasrat tersebut, Unit Bimbingan dan Kaunseling berusaha menerapkan ciri-ciri ini terhadap murid-murid yang berpotensi dengan harapan, jika tidak dapat memimpin orang lain, sekurang-kurangnya dapat memimpin diri sendiri. Pemimpin muda ini terdiri daripada Pengawas Sekolah, Ketua dan Penolong Ketua Kelas, Pengawas Perpustakaan, Pengawas BOSS dan Pembimbing Rakan Sebaya(PRS). Semoga dengan penyerahan watikah pelantikan itu, semua pemimpin cilik ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik lagi. Selamat menjalankan tugas pemimpin muda SKTB.

11 February 2011

TAHNIAH PASUKAN PINGPONG SKTB

Salam 1 Malaysia. Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan dan guru penasihat pingpong SK Tg Bidara kerana telah memenangi perlawanan pingpong yang telah diadakan di SJKC Paya Mengkuang pada minggu yang lalu. Seramai 6 orang murid telah mewakili sekolah ke perlawanan tersebut dan seramai 4 orang telah terpilih untuk mewakili kawasan Masjid Tanah. Tahniah diucapkan kepada murid tersebut. Semoga pada masa akan datang, pasukan sekolah dapat mengekalkan kemenangan dan menjadi sekolah yang terbaik dalam satu-satu perlawanan. Teruskan usaha.

MAJLIS BACAAN YASSIN


Pada setiap hari Jumaat, sekolah kami mengadakan bacaan Yassin bersama semua guru dan murid. Bacaan Yassin pada hari ini telah dipimpin oleh Ustaz Helmi bin Saleh. Ramai murid yang telah membawa air minuman semasa bacaan Yassin untuk mendapatkan keberkatan daripada bacaan ini. Selepas bacaan Yassin, Ustazah Norizan binti Abdullah ( mengikut giliran) memberi tazkirah ringkas. Aktiviti setiap minggu ini memberi banyak manfaat dan semoga ianya akan berterusan untuk tahun seterusnya.

08 February 2011

LATIHAN PELANTIKAN PEMIMPIN MUDA

Salam 1 Malaysia. Pada pagi ini, Unit Disiplin SK Tanjong Bidara bersama Unit Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan latihan pelantikan pemimpin muda untuk pengawas sekolah, pegawas perpustakaan, pengawas BOSS, ketua kelas dan penolong ketua kelas. Majlis pelantikan rasmi akan diadakan pada 14 Februari 2011 ( Isnin) sewaktu perhimpunan rasmi. Latihan awal adalah untuk memastikan semua pemimpin muda ini agar bersedia dan menepati tatacara yang dikehendaki oleh unit yang terlibat.

01 February 2011

BUDIMU KU SANJUNG


Salam 1 Malaysia. ' Harimau mati meninggalkan belang, manusia meninggalkan jasa dan budi'.  Jasa dan budi guru-guru yang telah meninggalkan SK Tanjong Bidara sangat berharga dan tidak terbalas dengan nilai apa sekalipun. Antara guru yang telah berpindah adalah Puan Sharipah bt Mahat, GPK HEM, Puan Rohainih bt Ajun, Puan Sazila bt Zakaria, Puan Jumaatun bt Mihat, Puan Paridah bt Abbas, Puan Hariefa Serjiha bt Hussin dan Puan Asmawati bt Abd. Samad. Ikatan ukhuwah yang erat, mesra antara satu sama lain akan terus diingati dan semoga guru-guru ini akan terus mengekalkan tahap kecemerlangan di tempat yang baru serta dapat menyambung khidmat budi bersama murid dan rakan sekerja yang baru.

SELAMAT DATANG GURU-GURU BARU

Salam 1 Malaysia. Patah tumbuh, hilang berganti. Begitulah lumrah kehidupan kita. Pada tahun ini, beberapa orang guru telah berpindah masuk ke SK Tanjong Bidara menggantikan beberapa orang guru yang berpindah keluar. Antara guru yang telah berpindah masuk adalah Puan Zainab bt. Mohd. Yusoh selaku GPK 1 yang baru, Encik Ibrahim b. Daud selaku GPK 3, Puan Sharida bt Ishak, Cik Izan Suzanee bt Mohtar, Puan Nazaratul Syima bt Zaini, dan Puan Wa'arina bt Musa. Semoga dengan kedatangan guru-guru baru ini dapat meningkatkan lagi tahap kecemerlangan SK Tanjong Bidara.

28 January 2011

SELAMAT TAHUN BARU CINA


Sejarah Tahun Baru Cina
Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.
Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.
Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
Perayaan yang bersamaan dengan  permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

SELAMAT TAHUN BARU

Salam 1 Malaysia. Setelah bercuti agak lama, baru ada kesempatan untuk meninjau ke laman blog sekolah kami. Agak terlewat untuk kami ucapkan Selamat Tahun Baru kepada warga SKTB. Semoga dengan kedatangan tahun ini, prestasi kerja dapat ditingkatkan dan kerjasama antara warga SKTB dapat diperkukuhkan lagi. Insya allah.