11 February 2011

TAHNIAH PASUKAN PINGPONG SKTB

Salam 1 Malaysia. Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan dan guru penasihat pingpong SK Tg Bidara kerana telah memenangi perlawanan pingpong yang telah diadakan di SJKC Paya Mengkuang pada minggu yang lalu. Seramai 6 orang murid telah mewakili sekolah ke perlawanan tersebut dan seramai 4 orang telah terpilih untuk mewakili kawasan Masjid Tanah. Tahniah diucapkan kepada murid tersebut. Semoga pada masa akan datang, pasukan sekolah dapat mengekalkan kemenangan dan menjadi sekolah yang terbaik dalam satu-satu perlawanan. Teruskan usaha.

MAJLIS BACAAN YASSIN


Pada setiap hari Jumaat, sekolah kami mengadakan bacaan Yassin bersama semua guru dan murid. Bacaan Yassin pada hari ini telah dipimpin oleh Ustaz Helmi bin Saleh. Ramai murid yang telah membawa air minuman semasa bacaan Yassin untuk mendapatkan keberkatan daripada bacaan ini. Selepas bacaan Yassin, Ustazah Norizan binti Abdullah ( mengikut giliran) memberi tazkirah ringkas. Aktiviti setiap minggu ini memberi banyak manfaat dan semoga ianya akan berterusan untuk tahun seterusnya.

08 February 2011

LATIHAN PELANTIKAN PEMIMPIN MUDA

Salam 1 Malaysia. Pada pagi ini, Unit Disiplin SK Tanjong Bidara bersama Unit Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan latihan pelantikan pemimpin muda untuk pengawas sekolah, pegawas perpustakaan, pengawas BOSS, ketua kelas dan penolong ketua kelas. Majlis pelantikan rasmi akan diadakan pada 14 Februari 2011 ( Isnin) sewaktu perhimpunan rasmi. Latihan awal adalah untuk memastikan semua pemimpin muda ini agar bersedia dan menepati tatacara yang dikehendaki oleh unit yang terlibat.

01 February 2011

BUDIMU KU SANJUNG


Salam 1 Malaysia. ' Harimau mati meninggalkan belang, manusia meninggalkan jasa dan budi'.  Jasa dan budi guru-guru yang telah meninggalkan SK Tanjong Bidara sangat berharga dan tidak terbalas dengan nilai apa sekalipun. Antara guru yang telah berpindah adalah Puan Sharipah bt Mahat, GPK HEM, Puan Rohainih bt Ajun, Puan Sazila bt Zakaria, Puan Jumaatun bt Mihat, Puan Paridah bt Abbas, Puan Hariefa Serjiha bt Hussin dan Puan Asmawati bt Abd. Samad. Ikatan ukhuwah yang erat, mesra antara satu sama lain akan terus diingati dan semoga guru-guru ini akan terus mengekalkan tahap kecemerlangan di tempat yang baru serta dapat menyambung khidmat budi bersama murid dan rakan sekerja yang baru.

SELAMAT DATANG GURU-GURU BARU

Salam 1 Malaysia. Patah tumbuh, hilang berganti. Begitulah lumrah kehidupan kita. Pada tahun ini, beberapa orang guru telah berpindah masuk ke SK Tanjong Bidara menggantikan beberapa orang guru yang berpindah keluar. Antara guru yang telah berpindah masuk adalah Puan Zainab bt. Mohd. Yusoh selaku GPK 1 yang baru, Encik Ibrahim b. Daud selaku GPK 3, Puan Sharida bt Ishak, Cik Izan Suzanee bt Mohtar, Puan Nazaratul Syima bt Zaini, dan Puan Wa'arina bt Musa. Semoga dengan kedatangan guru-guru baru ini dapat meningkatkan lagi tahap kecemerlangan SK Tanjong Bidara.

28 January 2011

SELAMAT TAHUN BARU CINA


Sejarah Tahun Baru Cina
Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.
Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.
Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
Perayaan yang bersamaan dengan  permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

SELAMAT TAHUN BARU

Salam 1 Malaysia. Setelah bercuti agak lama, baru ada kesempatan untuk meninjau ke laman blog sekolah kami. Agak terlewat untuk kami ucapkan Selamat Tahun Baru kepada warga SKTB. Semoga dengan kedatangan tahun ini, prestasi kerja dapat ditingkatkan dan kerjasama antara warga SKTB dapat diperkukuhkan lagi. Insya allah.