18 October 2012

Temasya Sukan SKTB 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aktiviti sukan telah bermula dari 16 & 17 Oktober 2012 dengan acara seperti lompat jauh, lempar cakera, lompat tinggi dan olahraga. Acara sukaneka untuk Prasekolah,  Tahun 1 hingga Tahun 6 terpaksa ditunda pada 19 Oktober 2012 (Jumaat) berikutan cuaca yang tidak mengizinkan pada hari ini dengan hujan yang lebat. Walaubagaimanapun, penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi acara yang telah dibuat tetap dilakukan dengan jayanya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada para tetamu jemputan khas iaitu YB KPT (B) Datuk Hj Ab Karim b. Sulaiman, Exco Jawatakuasa   Kerja Raya dan Kemudahan Awam (ADUN Tanjong Bidara) dan YB Datuk Latipah bt Hj Omar, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Melaka (ADUN Taboh Naning) selaku YDP PIBG sekolah ini yang telah memeriahkan lagi temasya sukan sekolah ini. Terima kasih dan syabas diucapkan kepada semua warga SK Tanjong Bidara yang telah memberi kerjasama yang padu dalam menjayakan temasya sukan ini. Tahniah!

17 October 2012

Sayang Ku Sayang

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, keprihatinan dan kerjasama yang telah diberikan daripada ramai pihak telah membawa sinar untuk Intan Syafiqah Salim murid 2 Afdal. Kes istimewa ini telah mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada YDP PIBG, YB Datuk Latipah bt Omar, Guru Besar; Tn Hj Abd Mutallif Che Mat, GPK HEM ; Pn Maimunah Abdul Hamid, Pegawai PPD Alor Gajah; Pn Rosnah dan En Jasman serta wakil dari JKKK Pasir Gembur. Kunjungan ke rumah Intan Syafiqah Salim selama beberapa jam itu telah berjaya membawa murid ini hadir ke sekolah semula pada 18 Oktober 2012. Terima kasih dan tahniah diucapkan.
  

08 October 2012

Sekolahku Rumahku

Semua murid sukakan penghargaan, lebih-lebih lagi daripada guru mereka. Perhimpunan pada hari ini telah diserikan lagi dengan penghargaan kepada beberapa orang murid yang telah mengekalkan kedatangan mereka ke sekolah bermula pada Januari hingga September. Tahniah kepada murid-murid yang telah menerima penghargaan daripada sekolah. Kekalkan kecemerlangan kamu! Syabas!

05 October 2012

Program ICT UPSR

Pada 4 dan 5 Oktober, semua murid Tahun 6 telah terlibat dengan program ICT UPSR. Program ini bermula pada pukul 7.40 sehingga 10.40 pagi melibatkan 3 buah kelas Tahun 6 ( 4 Oktober) dan sebuah kelas Tahun 6 pada 5 Oktober. Program ini dikendalikan oleh Guru Penyelaras Bestari bersama beberapa orang guru dan dibuat di Bilik Komputer SKTB. Kandungan program ini bermula dengan pengenalan kepada komponen dalaman komputer dan murid Tahun 6 yang terlibat diminta untuk menyediakan satu persembahan ringkas mengenai komponen dalaman menggunakan Microsoft Power Point. Tahniah diucapkan kepada semua murid Tahun 6 kerana berjaya menyiapkan persembahan mereka menggunakan Power Point.



03 October 2012

Program LINUS

Program LINUS telah diadakan untuk membantu murid Tahun 1 agar dapat memantapkan diri mereka dari segi pembacaan. Program ini telah dibantu oleh murid-murid Tahun 6. Pada setiap pagi, sebelum P&P dimulakan, murid-murid Tahun 1 akan berada di dalam kelas masing-masing bersama dengan murid Tahun 6. Guru kelas Tahun 1 turut bersama anak murid mereka untuk menjayakan program ini. Usaha murni ini perlu diteruskan dan tahniah kepada mereka yang telah memberi kerjasama.