31 July 2012

Taklimat SSQS

Satu taklimat ringkas tentang penarafan SSQS telah dilaksanakan bersama guru yang terpilih sebagai responden. Taklimat ini telah dihadiri oleh Pegawai PKG Pengkalan Balak; Encik Razak bin Sampul. Pengisian instrumen SSQS akan bermula pada 1 Ogos dan berakhir pada 9 September 2012. Selamat mengisi instrumen kepada para responden.

Kibarkan Jalur Gemilang

Program kibarkan Jalur Gemilang  telah dilaksanakan bagi  memeriahkan  lagi Bulan Kemerdekaan. Program ini telah dikelolakan oleh Pusat Sumber Sekolah. Moga jati diri dapat diterapkan dalam jiwa setiap murid di sekolah ini. Syabas!

Program Tahun 6 bersama Ayah Bonda

Program ini diadakan untuk memberi motivasi kepada murid Tahun 6 bersama ibu bapa mereka. Dihadiri oleh YB Datuk Latipah binti Omar, selaku YDP PIBG sekolah dan dilaksanakan dengan jayanya oleh Ketua Unit Kaunseling, Jabatan Pelajaran Melaka; Tn Hj Isa bin Jolan. Tahniah kepada guru-guru, murid, ibu bapa dan semua yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung. Moga kecemerlangan menjadi milik kita bersama.

20 July 2012

Ramadhan Bulan Rahmat


Salam Ramadhan diucapkan kepada semua. Semoga Ramadhan pada tahun ini menjadikan kita lebih bertaqwa kepadaNya. Insya Allah. Sedikit perkongsian kepada semua : Semoga kita tidak menjadi manusia yang rugi kerana mengikut sabda Rasullullah SAW, "Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan". Semoga kedatangan Ramadhan kali ini bukanlah Ramadhan terakhir buat diri kita dan sepanjang ada kesempatan di dunia ini, marilah sama-sama kita gunakan ke arah kebaikan. Lupakan sengketa dan mulakan Ramadhan dalam penuh kesucian.

   

17 July 2012

Esok Jangan Rindu-Rinduan..

Salam 1 Malaysia, satu majlis ringkas send off telah diadakan untuk Guru Besar Cemerlang, Encik Mustafa Kamal bin Mohd Nor kerana perpindahan beliau ke SK Kem Terendak 2. Jasa dan bakti beliau akan sentiasa dikenang dan semoga beliau akan terus cemerlang berkhidmat di sekolah baru beliau. Terima kasih cikgu.

11 July 2012

Lawatan ke MOZAC

Pada 11 Julai 2012, sekolah kami mengadakan lawatan motivasi murid-murid Tahun 6 ke  sekolah berasrama penuh iaitu sekolah berprestasi tinggi di Melaka, Sekolah Menengah Muzaffar Shah di Ayer Keroh. Lawatan ini diiringi oleh 6 orang guru pengiring iaitu Pn Sharida, Pn Nazaratul Syima, Pn Zuraida, En Jupri, Cik Azizah dan Cik Samsinar. 3 buah bas telah digunakan untuk membawa murid-murid Tahun 6 ke sekolah ini. Kerjasama daripada guru kaunseling MOZAC; En Saifuddin yang mesra bersama beberapa pelajar Tingkatan 4 mengiringi lawatan motivasi kami pada kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang telah menerima kunjungan kami.



10 July 2012

Senamrobik 1 Murid 1 Sukan


Pada 10 Julai 2012 program senamrobik 1 murid 1 sukan telah diadakan serentak di seluruh negara. Program senamrobik 1 murid 1 sukan ini telah membabitkan lebih 3.6 juta murid dan ini telah melakar nama Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Malaysia Book of Records dengan pembabitan paling ramai. SK Tanjong Bidara turut melaksanakan dasar 1 murid 1 sukan ini. Dasar 1 Murid 1 Sukan ini adalah mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberi penekanan kepada sukan untuk semua dan sukan untuk kecemerlangan. Dasar ini memberi perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui sukan prestasi tinggi sekolah (SPTS). Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid selaras dengan ungkapan "Minda Yang Cergas Terletak Pada Tubuh Yang Sihat". Dalam konteks ini, bidang sukan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara. Justeru, pelbagai aktiviti sukan diperkenalkan bagi menarik minat murid-murid agar mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan Dasar 1M 1 S agar setiap murid menikmati manfaat bersukan dengan harapan dapat membentuk generasi yang membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik.
*Sumber dari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia