20 December 2012

HARI KUALITI

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Hari Kualiti telah diadakan pada 7 November 2012. Pegawai PPD Alor Gajah iaitu Encik Jasman, dari Unit LINUS telah memeriahkan lagi penyampaian hadiah kerana pelajar-pelajar yang cemerlang. Kerjasama erat dari semua pihak telah melancarkan perjalanan majlis ini dengan gilang-gemilangnya. Tahniah kepada penerima anugerah. Semoga kecemerlangan mereka dapat berterusan dan menjadi insan berguna pada masa akan datang.

06 November 2012

LAWATAN TAHUN 6 KE WONDERLAND

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Lawatan Tahun 6 ini telah diadakan pada 31 Oktober 2012. Seramai 54 orang murid tahun 6 bersama 6 orang guru pengiring telah menjayakan lawatan ini. Tahniah dan syabas kepada penganjur lawatan ini dan diharapkan pada tahun akan datang pelbagai tempat yang lebih menarik dapat dilawati bagi memberi pendedahan langsung kepada semua murid di sekolah ini. Syabas!

LAWATAN MESRA MRSM ALOR GAJAH

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Sekolah kami telah dilawati oleh pelajar-pelajar dari MRSM Alor Gajah, Melaka pada 23 Oktober 2012. Lawatan mesra ini adalah khusus kepada murid-murid Tahun 5 agar mendapat pendedahan awal tentang MRSM. Sepanjang lawatan mesra ini, murid-murid diberi penerangan tentang MRSM dan beberapa aktiviti dalam kumpulan dilakukan bersama pelajar dari MRSM ini. Semoga dengan penerangan ini, murid-murid sekolah ini menjadikan destinasi MRSM sebagai fokus mereka dalam mencapai kejayaan. Tahniah diucapkan. 

PROGRAM PENGURUSAN JENAZAH UNTUK TAHUN 6

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Program pengurusan jenazah telah dilaksanakan pada 22 Oktober 2012 bertempat di Dewan Sekolah SK Tanjong Bidara dan disertai oleh semua murid Tahun 6. Program ini telah dijayakan oleh Panitia Pendidikan Islam  bersama Unit Bimbingan & Kaunseling. Penceramah jemputan adalah dari Angkatan Tentera Malaysia; Kem Terendak, Melaka Ustaz Rosli. Tahniah kerana telah menjayakan program ini. Semoga program ini memberi manfaat kepada kita semua.

05 November 2012

SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK & HARI RAYA QURBAN

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Majlis sambutan ini telah diadakan pada 29 Oktober 2012. Majlis dimulakan dengan ceramah yang telah diberikan oleh Ustaz Jupri tentang ibadah qurban diikuti dengan beberapa persembahan daripada murid-murid. Murid-murid kemudiannya menikmati makanan yang telah disediakan oleh guru-guru yang telah bekerjasama memasak juadah makanan itu. Kerjasama erat daripada guru-guru telah menjayakan majlis sambutan ini. Tahniah diucapkan. 

   

18 October 2012

Temasya Sukan SKTB 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aktiviti sukan telah bermula dari 16 & 17 Oktober 2012 dengan acara seperti lompat jauh, lempar cakera, lompat tinggi dan olahraga. Acara sukaneka untuk Prasekolah,  Tahun 1 hingga Tahun 6 terpaksa ditunda pada 19 Oktober 2012 (Jumaat) berikutan cuaca yang tidak mengizinkan pada hari ini dengan hujan yang lebat. Walaubagaimanapun, penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi acara yang telah dibuat tetap dilakukan dengan jayanya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada para tetamu jemputan khas iaitu YB KPT (B) Datuk Hj Ab Karim b. Sulaiman, Exco Jawatakuasa   Kerja Raya dan Kemudahan Awam (ADUN Tanjong Bidara) dan YB Datuk Latipah bt Hj Omar, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Melaka (ADUN Taboh Naning) selaku YDP PIBG sekolah ini yang telah memeriahkan lagi temasya sukan sekolah ini. Terima kasih dan syabas diucapkan kepada semua warga SK Tanjong Bidara yang telah memberi kerjasama yang padu dalam menjayakan temasya sukan ini. Tahniah!

17 October 2012

Sayang Ku Sayang

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, keprihatinan dan kerjasama yang telah diberikan daripada ramai pihak telah membawa sinar untuk Intan Syafiqah Salim murid 2 Afdal. Kes istimewa ini telah mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada YDP PIBG, YB Datuk Latipah bt Omar, Guru Besar; Tn Hj Abd Mutallif Che Mat, GPK HEM ; Pn Maimunah Abdul Hamid, Pegawai PPD Alor Gajah; Pn Rosnah dan En Jasman serta wakil dari JKKK Pasir Gembur. Kunjungan ke rumah Intan Syafiqah Salim selama beberapa jam itu telah berjaya membawa murid ini hadir ke sekolah semula pada 18 Oktober 2012. Terima kasih dan tahniah diucapkan.
  

08 October 2012

Sekolahku Rumahku

Semua murid sukakan penghargaan, lebih-lebih lagi daripada guru mereka. Perhimpunan pada hari ini telah diserikan lagi dengan penghargaan kepada beberapa orang murid yang telah mengekalkan kedatangan mereka ke sekolah bermula pada Januari hingga September. Tahniah kepada murid-murid yang telah menerima penghargaan daripada sekolah. Kekalkan kecemerlangan kamu! Syabas!

05 October 2012

Program ICT UPSR

Pada 4 dan 5 Oktober, semua murid Tahun 6 telah terlibat dengan program ICT UPSR. Program ini bermula pada pukul 7.40 sehingga 10.40 pagi melibatkan 3 buah kelas Tahun 6 ( 4 Oktober) dan sebuah kelas Tahun 6 pada 5 Oktober. Program ini dikendalikan oleh Guru Penyelaras Bestari bersama beberapa orang guru dan dibuat di Bilik Komputer SKTB. Kandungan program ini bermula dengan pengenalan kepada komponen dalaman komputer dan murid Tahun 6 yang terlibat diminta untuk menyediakan satu persembahan ringkas mengenai komponen dalaman menggunakan Microsoft Power Point. Tahniah diucapkan kepada semua murid Tahun 6 kerana berjaya menyiapkan persembahan mereka menggunakan Power Point.



03 October 2012

Program LINUS

Program LINUS telah diadakan untuk membantu murid Tahun 1 agar dapat memantapkan diri mereka dari segi pembacaan. Program ini telah dibantu oleh murid-murid Tahun 6. Pada setiap pagi, sebelum P&P dimulakan, murid-murid Tahun 1 akan berada di dalam kelas masing-masing bersama dengan murid Tahun 6. Guru kelas Tahun 1 turut bersama anak murid mereka untuk menjayakan program ini. Usaha murni ini perlu diteruskan dan tahniah kepada mereka yang telah memberi kerjasama. 

28 September 2012

Merentas Desa nan Permai

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Acara merentas desa ini diadakan pada 28 September 2012 yang bermula pada pukul 8.30 pagi dan tamat pada pukul 11.00 pagi. Acara ini melibatkan semua murid dan murid Tahap 1 dan Tahap 2 melalui trek yang berbeza. Tahniah dan syabas kerana acara ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama yang telah diberikan oleh semua guru. Tahniah!




21 September 2012

Majlis Penutup Kibarkan Jalur Gemilang



Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Majlis penutup ini telah diadakan pada 21 September 2012. Tahniah dan syabas diucapkan kerana majlis ini telah berjalan dengan lancar.

12 September 2012

Lawatan ke Zoo Melaka

Pada 12 September yang lalu, sekolah kami; di bawah unit lawatan dan unit bimbingan & kaunseling telah menganjurkan satu lawatan untuk murid-murid Tahap 1. Lawatan ini diadakan semasa peperiksaan UPSR berlangsung. Sebanyak 3 buah bas digunakan untuk membawa murid-murid ini ke Zoo Melaka. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru pengiring dan guru Tahap 1 yang lain kerana telah memberi kerjasama yang padu hingga lawatan ini selesai. Semoga lawatan ini dapat memberi input dan pembelajaran  secara langsung kepada murid-murid sekolah kita. 

10 September 2012

LDAP SKTB - Profesionalisme dan Pementoran




Assalamualaikum dan salam sejahtera. Penceramah untuk LDAP pada kali ini adalah Encik Abu Bakar bin Awang, Pengetua SMK Seri Pengkalan, Alor Gajah, Melaka. LDAP ini telah diadakan pada 10 September 2012, di PKG Pengkalan Balak iaitu dari pukul 2.30 hingga 5.30 petang. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat.

15 August 2012

MAJLIS BERBUKA PUASA & SOLAT HAJAT TAHUN 6

Majlis ini diadakan pada 15 Ogos 2012 bertempat di Dewan SKTB. Majlis yang bermula pada pukul 6 petang ini dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa, PIBG, guru-guru dan murid-murid tahun 6. Selepas solat hajat dan bacaan yassin, majlis ini diteruskan lagi dengan Solat tarawih. Majlis ini tamat pada pukul 10.30 malam. Terima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan majlis ini. Semoga usaha kita bersama akan membuahkan hasil yang terbaik. Insya Allah.

  

MAJLIS KHATAM QURAN & SUMBANGAN RAYA



Majlis ini telah diadakan pada 15 Ogos 2012 dan telah melibatkan semua warga SKTB. Beberapa orang murid Tahun 6 yang terlibat dalam khatam quran ini telah dipimpin oleh Ustaz Jupri Amsah. Majlis dimeriahkan lagi dengan ceramah yang padat oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Rosli. Setelah itu, sumbangan kepada murid miskin dan anak yatim disempurnakan oleh guru besar dan beberapa jemputan.

31 July 2012

Taklimat SSQS

Satu taklimat ringkas tentang penarafan SSQS telah dilaksanakan bersama guru yang terpilih sebagai responden. Taklimat ini telah dihadiri oleh Pegawai PKG Pengkalan Balak; Encik Razak bin Sampul. Pengisian instrumen SSQS akan bermula pada 1 Ogos dan berakhir pada 9 September 2012. Selamat mengisi instrumen kepada para responden.

Kibarkan Jalur Gemilang

Program kibarkan Jalur Gemilang  telah dilaksanakan bagi  memeriahkan  lagi Bulan Kemerdekaan. Program ini telah dikelolakan oleh Pusat Sumber Sekolah. Moga jati diri dapat diterapkan dalam jiwa setiap murid di sekolah ini. Syabas!

Program Tahun 6 bersama Ayah Bonda

Program ini diadakan untuk memberi motivasi kepada murid Tahun 6 bersama ibu bapa mereka. Dihadiri oleh YB Datuk Latipah binti Omar, selaku YDP PIBG sekolah dan dilaksanakan dengan jayanya oleh Ketua Unit Kaunseling, Jabatan Pelajaran Melaka; Tn Hj Isa bin Jolan. Tahniah kepada guru-guru, murid, ibu bapa dan semua yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung. Moga kecemerlangan menjadi milik kita bersama.

20 July 2012

Ramadhan Bulan Rahmat


Salam Ramadhan diucapkan kepada semua. Semoga Ramadhan pada tahun ini menjadikan kita lebih bertaqwa kepadaNya. Insya Allah. Sedikit perkongsian kepada semua : Semoga kita tidak menjadi manusia yang rugi kerana mengikut sabda Rasullullah SAW, "Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan". Semoga kedatangan Ramadhan kali ini bukanlah Ramadhan terakhir buat diri kita dan sepanjang ada kesempatan di dunia ini, marilah sama-sama kita gunakan ke arah kebaikan. Lupakan sengketa dan mulakan Ramadhan dalam penuh kesucian.

   

17 July 2012

Esok Jangan Rindu-Rinduan..

Salam 1 Malaysia, satu majlis ringkas send off telah diadakan untuk Guru Besar Cemerlang, Encik Mustafa Kamal bin Mohd Nor kerana perpindahan beliau ke SK Kem Terendak 2. Jasa dan bakti beliau akan sentiasa dikenang dan semoga beliau akan terus cemerlang berkhidmat di sekolah baru beliau. Terima kasih cikgu.

11 July 2012

Lawatan ke MOZAC

Pada 11 Julai 2012, sekolah kami mengadakan lawatan motivasi murid-murid Tahun 6 ke  sekolah berasrama penuh iaitu sekolah berprestasi tinggi di Melaka, Sekolah Menengah Muzaffar Shah di Ayer Keroh. Lawatan ini diiringi oleh 6 orang guru pengiring iaitu Pn Sharida, Pn Nazaratul Syima, Pn Zuraida, En Jupri, Cik Azizah dan Cik Samsinar. 3 buah bas telah digunakan untuk membawa murid-murid Tahun 6 ke sekolah ini. Kerjasama daripada guru kaunseling MOZAC; En Saifuddin yang mesra bersama beberapa pelajar Tingkatan 4 mengiringi lawatan motivasi kami pada kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang telah menerima kunjungan kami.



10 July 2012

Senamrobik 1 Murid 1 Sukan


Pada 10 Julai 2012 program senamrobik 1 murid 1 sukan telah diadakan serentak di seluruh negara. Program senamrobik 1 murid 1 sukan ini telah membabitkan lebih 3.6 juta murid dan ini telah melakar nama Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Malaysia Book of Records dengan pembabitan paling ramai. SK Tanjong Bidara turut melaksanakan dasar 1 murid 1 sukan ini. Dasar 1 Murid 1 Sukan ini adalah mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberi penekanan kepada sukan untuk semua dan sukan untuk kecemerlangan. Dasar ini memberi perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui sukan prestasi tinggi sekolah (SPTS). Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid selaras dengan ungkapan "Minda Yang Cergas Terletak Pada Tubuh Yang Sihat". Dalam konteks ini, bidang sukan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara. Justeru, pelbagai aktiviti sukan diperkenalkan bagi menarik minat murid-murid agar mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan Dasar 1M 1 S agar setiap murid menikmati manfaat bersukan dengan harapan dapat membentuk generasi yang membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik.
*Sumber dari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia

19 June 2012

12 MUTIARA KATA ISLAM UNTUK SANTAPAN ROHANI


"Dunia ini adalah perhiasan dan seindah-indah perhiasan adalah wanita solehah" (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi saw bersabda : "Perempuan itu dikahwini kerana 4 perkara,iaitu kerana hartanya,keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya,maka pilihlah kerana agamanya kelak engkau akan bahagia" (Hadis Riwayat Muttafaqun Alaih)

"Mana-mana perempuan yang melakukan sembahyang 5 waktu,berpuasa dibulan ramadhan,menjaga kehormatannya dari yang haram dan mentaati suami,maka masuklah ia kesyurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki" (Hadis Riwayat Ahmad)

"Sekiranya aku ini manusia yang boleh memerintahkan mana-mana manusia untuk sujud kepada manusia lain,maka aku akan menyuruh para isteri sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami yang dianugerahkan Allah atas mereka" (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

"Orang mukmin yang sempurna imannya adalah yang paling baik budi pekertinya dan lemah lembut dengan keluarganya,dan sebaik-baik kamu ialah yang baik kepada isterinya" (Hadis Riwayat At-Tizmizi)

Dari Abu Hurairah r.a katanya,Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu juga tidak memandang kepada harta kamu,akan tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu" (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

"Tidak akan masuk syurga orang yang didalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah" (Hadis Riwayat Muslim)

"Carilah duniamu seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya dan carilah akhiratmu seolah-olah engkau akan mati besok pagi" (Hadis Riwayat Ibnu Asahin)

"Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian,kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta nasehat menasehati di atas kebenaran dan kesabaran" (surah Al-Asr Ayat : 1-3)

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang tidak meninggalkan akhirat kerana dunianya dan tidak meniggalkan dunia kerana akhiratnya" (Hadis Riwayat Al-Khatib) 

"Gunakanlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara iaitu masa muda sebelum tua,sihat sebelum sakit,kaya sebelum miskin,lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati" (Hadis Riwayat Al-Hakim & Al-Baihaqi) 

"Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat menghapus segala keniknatan hidup,iaitu MATI" (Hadis Sahih Riwayat Tirmidzi,Nasaai,Ibnu Majah & Ibnu Nu'aim)

Sumber dari ~ http://luvislam92.blogspot.com/2012/07/12-mutiara-kata-islam-untuk-santapan.html

30 April 2012

Lawatan ke Pesta Buku & Pusat Sains Negara

Pada 30 April ( Isnin), Pusat Sumber sekolah dengan kerjasama Unit Lawatan telah mengadakan lawatan ke Pesta Buku di PWTC dan Pusat Sains Negara. Lawatan ini disertai oleh murid-murid Tahun 4 dan 5 iaitu seramai 80 orang murid dan 8 orang guru pengiring. Lawatan ini banyak memberi manfaat kepada murid dan memberi pendedahan secara langsung kepada murid. Tahniah kepada Pusat Sumber Sekolah & Unit Lawatan kerana berjaya menganjurkan lawatan ini.

29 March 2012

PENYERAHAN BANTUAN KHAS AWAL PERSEKOLAHAN DAN KWAPM

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. Pada 29 Mac 2012 ( Khamis) satu majlis penyerahan bantuan khas awal persekolahan dan penyerahan KWAMP telah diadakan. Majlis telah dirasmikan oleh ADUN Tg Bidara iaitu YB Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim b. Sulaiman. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan di atas kesudian beliau yang telah menyempurnakan majlis penyerahan ini. Terima kasih juga diucapkan kepada semua warga SKTB yang telah bekerjasama menyempurnakan majlis ini.     

PERLUASAN WIFI SKTB

Assalamualaikum. Alhamdulillah, akhirnya projek perluasan wifi yang telah dirancang, akhirnya berjaya disempurnakan berkat kerjasama daripada pelbagai pihak. Projek pemasangan ini telah dimulakan pada 28 hingga 29 Mac 2012  , dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Pihak PKG Pengkalan Balak telah memberi khidmat bantu ICT dengan dibantu oleh juruteknik yang berdedikasi iaitu Cik Zaidah dari SK Pengkalan Balak, Encik Hazman dari SMK Rahmat dan dari PKG sendiri iaitu Encik Fairuz. Pihak sekolah juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pekerja-pekerja di atas kerjasama yang diberikan untuk sama-sama menyempurnakan pemasangan wifi di kawasan sekolah. Terima kasih dengan kerjasama yang telah diberikan. Moga dengan kemudahan wifi di SKTB ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk peningkatan prestasi murid-murid.

  

01 February 2012

BENGKEL MBMMBI

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, sekolah kami telah memulakan langkah awal dengan memperkenalkan penggunaan Makmal Bahasa kepada guru-guru Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris untuk digunakan secara total bagi menjayakan dasar ini. Oleh sebab itu, satu Bengkel MBMMBI telah diadakan pada 1 Februari 2012,(Rabu) jam 4.00 hingga 6.00 petang untuk memberi pendedahan kepada guru-guru yang terlibat. Terima kasih kepada Puan Hjh Juliah bt Ismail, Guru Bahasa Malaysia dan Cik Siti Hajar bt Mokri, Guru Bahasa Inggeris yang diamanahkan untuk menyampaikan isi kandungan bengkel ini. Tahniah dan syabas kepada semua guru yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini.

       

WATIKAH PELANTIKAN PEMIMPIN MUDA SKTB 2012

Majlis watikah pelantikan pemimpin muda ini telah diadakan pada 30 Januari 2012 ( Isnin). Tahniah diucapkan kepada pemimpin muda yang telah terpilih. Semoga dengan pelantikan ini, para pemimpin cilik ini dapat menjalankan amanat dan tanggungjawab dengan berdedikasi. Syabas! 

10 January 2012

Sehati Menempa Kejayaan



Program Sehati Menempa Kejayaan yang telah diadakan pada 6 Januari 2012 ( Jumaat). Program ini bermula pada pukul 2.30 petang sehingga 5.00 petang. Penceramah jemputan adalah Ustazah Rozita dari SMK Seri Pengkalan (V). Terima kasih dan tahniah kepada penceramah, guru-guru dan ibu bapa yang berjaya menghadirkan diri. Tahniah!